23 Disember 2021 – Rakan-rakan OKU hari ini diraikan dalam majlis Hari Kemuncak Sambutan Bulan OKU 2021 peringkat HUiTM anjuran Jabatan Perubatan Pemulihan HUiTM dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM. Sambutan Bulan OKU peringkat HUiTM ini telah bermula sejak 3 Disember 2021 dengan pengisian pelbagai program kesedaran dan sesi perkongsian ilmu bersama warga.
Dengan tema ‘Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik COVID-19’, majlis dimulakan dengan sesi Forum Bicara Prihatin: ‘Kekurangan Bukan Halangan – Kesihatan Psikologi Dalam Kalangan OKU’ yang membariskan panel-panel hebat seperti Ts. Dr. Roslinda Alias (Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UiTM), Dr. Nurul Azreen Hashim (Pakar Psikiatri HUiTM), Cik Sharifah Nadhira Syed Iskandar (Alumni UiTM/ Influencer OKU) dan PM Dr. Mohd Haidzir Abd Manaf (Ketua Pusat Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan UiTM) yang bertindak sebagai moderator forum.
Perasmian penutup Hari Kemuncak Sambutan Bulan OKU 2021 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim (Pengarah Hospital UiTM). Turut menjayakan majlis ialah Prof. Madya Dr. Badrul Isa (Timbalan Rektor HEP) yang hadir mewakili Rektor UiTM Cawangan Selangor.
Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang telah memberi kerjasama dan sokongan bagi memastikan Sambutan Bulan OKU 2021 peringkat HUiTM ini berjalan lancar. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puncak Alam dan Saujana Utama atas komitmen menjayakan program.
